Ciri-ciri Windows 95 Windows_95

32-bit

Windows 95 memerlukan pemproses 32-bit untuk berfungsi kerana Windows 95 menggunakan pemprosesan 32-bit bagi pengurusan sistem, fail dan cakera keras. Ini mengurangkan fungsi MS-DOS kepada sekadar pelancar but sahaja. Walau bagaimanapun, integrasi MS-DOS di dalam Windows 95 membolehkan Windows untuk membuka fail-fail dan program-program lama yang berjalan di bawah MS-DOS, di samping fail-fail dan program-program 32-bit.

Nama fail panjang

Di dalam MS-DOS, Windows 3.0 dan Windows 3.1x, nama fail hanya terhad kepada 8 aksara sahaja, diikuti 3 aksara sambungan (format 8+3). Windows 95 pula mula menyokong nama fail yang lebih panjang menerusi penggunaan sistem fail FAT.

Palam dan Main

Windows 95 turut menyokong teknologi Palam dan Main (Plug and Play), yang membolehkan Windows mengesan jenis perkakasan komputer yang dipasang, meminta pemacu peranti yang bersesuaian dan seterusnya menetapkan konfigurasi perkakasan secara automatik. Sebelum ini, pemasangan pemacu peranti serta konfigurasi perkakasan di dalam MS-DOS, Windows 3.0 dan 3.1x adalah agak rumit.

Antaramuka pengguna

Antaramuka pengguna Windows 95 adalah faktor utama bagi kejayaan besar Windows 95 sebagai sistem pengendalian paling berjaya pernah dihasilkan pada masa tersebut dalam masa 1-2 tahun selepas dilancarkan. Windows 95 terbukti sangat berjaya sehingga mampu menyebabkan banyak pemain utama sistem pengendalian serasi DOS gulung tikar, satu faktor utama yang kemudiannya membawa kepada tuduhan monopoli sistem pengendalian yang dihadapi Microsoft beberapa tahun kemudian.

Sementara Windows 3.0 dan 3.1x menggunakan pengurus program (Program Manager) bagi menguruskan sistem, fail dan program, Windows 95 pula menggunakan menu Start bagi pengurusan program serta Windows Explorer bagi pengurusan fail. Windows 95 adalah versi Windows pertama yang menggunakan menu Start bar tugasan di dalam antaramuka Windows, dan ciri-ciri tersebut dikekalkan di dalam kesemua versi Windows yang lebih baru.